Powered By Blogger

Pages

Friday, February 26, 2010

Isu Larangan Penggunaan Nama Allah oleh Kristian. Apa Kata Anda?


Bagaimana isu larangan penggunaan nama Allah oleh Kristian boleh timbul? Isu ini bermula setelah Kementerian Dalam Negeri memutuskan untuk melarang penggunaan nama Allah terhadap penerbitan dalam Bahasa Malaysia bagi akhbar mingguan Herald Katolik 31 Disember 2007.

Mungkin boleh diamati semula dan cuba fahamkan ayat 25 dalam Surah Luqman : “Dan jika (Muhammad) tanyakan mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi?”, Tentu mereka akan jawab “Allah”. Katakanlah “Segala Puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui”.

Apakah pandangan tokoh agama Islam dunia dalam isu larangan penggunaan nama Allah oleh kristian ini?

  1. Saya merujuk kepada pandangan dua tokoh besar ulama terkini, Sheikh Yusuf Qardhawi, penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431H dan Sheikh Dr Wahbah Zuhaili Tokoh Maal Hijrah 1429H. Kedua-dua berpandangan bahawa penggunaan nama “Allah” adalah dibolehkan kepada penganut-penganut agama Nabi Allah Ibrahim yakni Islam, Kristian dan Judaism.
  2. Manakala bekas Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin, menulis dalam Mingguan Malaysia pada 27 April 2008 bahawa Umat Islam tidak perlu berebut nama Allah dengan penganut Katolik. Mereka berhak menamakan Tuhan mereka dengan nama Allah kerana dalam al-Quran pun kaum Musyrikin menggunakan nama Allah. Dr. Asri juga menegaskan bahawa yang menjadi permasalahan adalah bukan nama Tuhan tetapi kesyirikan penganutnya.
  3. Contohnya lagi kita tidak boleh menggunakan kata ‘liberal’ untuk makna terbuka kerana ia memberi konotasi yang dalam. Kita pun tidak akan mengatakan bahawa mereka telah memonopoli perkataan liberal. Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas adalah sarjana Islam yang paling tegas dalam hal pemberian nama atau istilah ini. Bagi beliau banyak kekeliruan berpunca daripada penamaan. Contohnya pelajaran berbeza dengan pendidikan dan ta’dib. Istilah moden dan klasik dalam pembahagian sejarah bagi beliau tidak relevan dengan sejarah Islam dan lain-lain lagi.
  4. Manakala seorang tokoh pemikiran Islam, Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, beliau memberitahu dan menyambung hujah Prof Syed Muhammad Al-Attas bahawa al-Quran telah merubah dan memperbaiki kekeliruan dan kerosakan yang telah terjadi kepada hakikat-hakikat penting yang berkisar di sekitar ketuhanan, kemanusiaan dan kejadian.
Allah digunakan oleh semua penganut agama samawi Islam, Kristian dan Jews (ahli kitab). Cuba keluar daripada kepompong dan tempurung yang lama. Kita kena lihat keadaan dan dunia sebenar kita ini. (www.jihadwatch.org). Bukan tugas saya untuk mengatakan yang ini betul dan yang ini pula salah. Tetapi inilah realitinya dan faktanya. yang penting kita membuat pilihan yang terbaik untuk kebaikan semua

Memang bagus kalau kita hidup aman damai dan bersahabat dengan semua agama dan dapat bersatu untuk kesejagatan amatlah bagus.

  1. Sebelum kejadian letupan gereja, laman web mahkamah iaitu www.mahkamah.gov.my pula telah digodam oleh pihak bertanggungjawab
  2. Jan 8 — Sebuah gereja di pinggir ibu negara dibakar tengah malam tadi ketika pihak berkuasa memberi amaran agar tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan termasuk mengadakan perhimpunan haram di sebalik polemik keputusan mahkamah membenarkan akhbar mingguan Katolik, Herald menggunakan perkataan “Allah”. Gereja Metro Tabernacle A/G, yang terletak di Jalan 4/4C Desa Melawati dekat Setapak di sini dibakar, dipercayai oleh beberapa lelaki, kira-kira 12 tengah malam
  3. Gereja Assumption yang terletak di sebelah Hospital Assunta, dipercayai turut menjadi sasaran kira-kira jam 4 pagi tadi
  4. Gereja di Seksyen 17, Petaling Jaya juga menjadi sasaran malam tadi, menyebabkan kerosakan berlaku di bahagian luar luar bangunan Gereja Life Chapel

Berkenaan kes letupan di 3 gereja tempoh hari, kita sepatutnya tidak menuduh samada orang Islam yang harus dipertanggungjawabkan ataupun orang Kristian sendiri yang membuat khianat. Adalah lebih baik kita tunggu sahaja siasatan polis. Walaupun ada segelintir kawan Islam tidak puas hati atas keputusan makhamah tinggi, tetapi perbuatan serangan molotov ni adalah sangat sangat serius, ia serupa serangan Terrorism. Apa yang kita dapat dengan serangan tidak bertamadun ini. Adakah boleh selesai ker masalah? Dalam pada masa yang sama pernah ker terfikir dengan serangan seperti ini industri pelancongan negara boleh terjejas kerana ramai pelancong asing akan takut diserang jika datang melancong ke Malaysia.

Akhirnya negara barat juga akan mengutuk negara kita sama sahaja dengan negara Islam di Timur Tengah yang penuh dengan kebencian dan serangan pengganas. Hendak kita dilabel sebegitu? Pengeboman sentiasa berlaku dan kematian rakyat meningkat setiap hari. Nama negara kita mesti terjejas selepas kes macam ni. Fikirkanlah wahai rakan-rakanku. Setiap perbuatan perlu menggunakan akal fikiran dan bukannya perasaan dan hawa nafsu yang menggongkong tingkah laku kita semua.

Sekarang ini, Yang Dipertuan Agong sendiri telah bertitah semua pihak supaya bertenang, hormati tempat ibadah tanpa mengira kaum. Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, menitahkan seluruh rakyat Malaysia supaya saling menghormati tempat ibadah tanpa mengira kaum. Tuanku Mizan menitahkan semua pihak terutamanya umat Islam agar bertenang berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan penggunaan kalimah Allah.

Kenapa orang Melayu tak boleh bersahabat orang lain? Cuba beritahu sedikit, suka saya mendengar pandangan anda semua? Dengan Cina nak bertelingkah. Dengan India nak bergaduh dan sekarang ini dengan Kristian Sabah & Sarawak pun mahu bertikam lidah. Kita mesti sentiasa waspada bila ada kumpulan menggelarkan diri mereka pembela agama dan Allah. Seperti kata Allahyarham Gus Dur, bekas presiden Indonesia dan pemimpin besar Nahdatul Ulama; Tuhan yang Maha Besar, Maha Agung dan Maha Berkuasa tidak perlu dibela, yang memerlukan pembelaan adalah manusia yang dianiayai dan ditindas.

  1. Kadang-kadang kita jaguh di lembah maksiat, kemudian……apabila timbul isu ini kita bangun dengan lagak seperti seorang pahlawan
  2. Kadang-kadang kita jaguh di jalanan, menang game usung betina, tetapi…….apabila timbul isu ini kita bangun dengan lagak seperti seorang pahlawan
  3. Kadang-kadang kita tutup mata dengan membenarkan lambakan tempat yang sudah ternoda dengan aktiviti maksiat, tetapi……kita boleh buka mata dengan isu ini, lagak seperti seorang pejuang

Bagusla yang mengadakan perhimpunan tempoh hari, sekurang-kurangnya jika dilihat daripada sudut lainnya terdapat semangat cintakan Islam. Tetapi biarlah isu yang hendak dibawa itu sesuai. Bukan boleh terjah sahaja. Lebih baik golongan dan kelompok yang seperti ini buat demo depan kedai mesin kuda dengan menuruh mereka tutup atau pun, apa salahnya mendakwahkan anak bangsa sendiri, didik diri sendiri dan ahli keluarga untuk menghayati ajaran Islam dan bukannya menyekat pengaruh luar semata-mata. Kalau buat demo pula konsert artis-artis Melayu Islam, bukankah lagi bagus? Itu belum termasuk lagi siaran televisyen sekarang ini, majalah-majalah lucah yang dibuat sendiri oleh orang Islam? Kemudian jihad pula di sekitar Bukit Bintang itu dulu. Pilihan sudah ada. Terpulang………………

Kita telah ada cukup undang undang melarang sesiapa sekali pun yang berusaha untuk menarik minat orang Islam kapada agama lain. Itu sebabnya termaktubnya Perlembagaan Malaysia yang menetapkan agama Islam sebagai adalah agama rasmi dan agama Islam tetap akan terpelihara dalam pada masa yang sama kita mestilah menghormati pegangan dan kepercayaan orang lain. Apabila saya berkata begini, pastinya ada cakap-cakap yang mengatakan Berita Semasa ingin melihat kesucian agama mereka tercemar(pemikiran seperti ini sudah boleh dibaca). Mesti ada punya tetapi bukan niat saya sebegitu. Itu sebabnya apa-apa yang berlaku sekarang ini perlu dilihat daripada sudut sejarah dan perundangan yang ada di Malaysia.

Kita mesti sentiasa waspada apabila ada kumpulan menggelarkan diri mereka pembela agama dan Allah. Seperti kata Allahyarham Gus Dur, bekas presiden Indonesia dan pemimpin besar Nahdatul Ulama; Tuhan yang Maha Besar, Maha Agung dan Maha Berkuasa tidak perlu dibela, yang memerlukan pembelaan adalah manusia yang dianiayai dan ditindas.

Soal penggunaan perkataan Allah (God) atau Tuhan Allah (the Lord God) oleh orang Kristian Bumiputera di Sabah dan Sarawak mesti difahami dari perspektif sejarah pra-Merdeka dan sebelum mereka menyertai Malaya untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963. Semasa membaca doa di gereja, ramai penganut Kristian di sana tidak tahu berbahasa Inggeris; lagi pula mereka dari berbagai kaum seperti Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Murut, Melanau, Kelabit, Kedayan dan sebagainya yang mempunyai bahasa dan dialek yang berbeza. Jadi mereka memilih satu bahasa yang difahami semua pihak, iaitu Bahasa Melayu. Kitab Bible berbahasa Melayu yang mereka gunakan datangnya dari Indonesia. Bible mereka menggunakan perkataan Allah.

Sejak zaman-berzaman orang Islam di Sabah dan Sarawak tidak menghadapi apa-apa masalah tentang hal ini. Mengapa isu ini tak timbul pada masa dahulu? Apabila orang bukan Islam diminta menyanyi yang ada diselitkan nama Allah, adakah mereka melakukan kesalahan? Mengapa hanya The Herald diharamkan daripada menggunakan perkataan Allah? Sudah tentu The Herald tidak akan menggunakan perkataan itu kalau penganut dan pembacanya menggunakan perkataan lain dalam ritual sembahyang dan doa mereka.

Itu sebabnya sebelum kita ingin bertindak(merusuh, demonstrasi, membantah) supaya rajin-rajinlah diri menyemak sejarah lampau. Benda ini bukan dipinta untuk terjadi tetapi disebabkan perundangan dan sejarah lampau negara kita. Lagipun saya difahamkan bahawa pada abad ke-17 sudah ada perkataan Allah untuk Tuhan dalam kamus Melayu-Latin. Allah juga disebut dalam kitab doa Katolik yang dibawa ke Tanah Melayu pada abad ke-19.

Persoalannya di sini jika tindakan keras diambil, adakah ia akan membantu usaha dakwah Islamiah atau mencacatkan imej Islam semata-mata kerana ada orang tertentu mahu jadi wira agama tanpa kajian yang mendalam. Para alim ulama seluruh dunia Islam sudah lama menerima orang dari agama lain menggunakan nama Allah sebagai nama Tuhan. Antaranya yang diguna pakai oleh umat Kristian Koptik di Mesir dan Kristian di Lubnan, Palestin, Iraq dan beberapa negara umat Islam yang lain dalam pada masa yang sama juga Bahasa Melayu kita masih lagi mengekalkan Bahasa Sanskrit dari asal usul Hindu untuk Islam seperti perkataan sembahyang, puasa, syurga, neraka, dosa, pahala dan sebagainya. Kepercayaan kepada ajaran agama kita yang tulen adalah benteng untok kita memberhentikan mana mana usaha untuk membawa orang Islam keluar dari akidah Islam.

Mereka mengaku Allah sebagai Tuhan, mengapa kita mahu halang dan berasa takut jikalau Kristian menggunakan nama Allah. Bukankah Allah adalah Tuhan semua manusia, jin, dan sekalian alam? Bukankah ini salah satu bentuk dakwah? Kita sebagai muslim sepatutnya lebih besemangat nak mendidik umat islam apabila orang Kristian sendiri menggunakan nama Allah…dan bukannya berasa takut keliru atau sebagainya. Yang pentingnya ada satu undang-undang yang mempunyai kuasa mengawal pihak Kristian daripada menghina nama Allah. Selagi Kristian tidak menghina dan mempersendakan nama Allah, sesiapa pun berhak hendak guna nama Allah, sebab Allah itu adalah universal yang pentingnya di sini adakah selama ini kita betul-betul menyelami dan mengamalkan syariat Islam? Renung-renungkanlah.

Pada pendapat saya, nama Allah tiada orang yang memegang hak mutlak. Dalam erti kata lain, nama Allah bukanlah sesuatu “copyright” yang kita perlu berdebat sebegini rupa. Bahkan, jika orang bukan Islam menggunakan nama Allah, kita harusnya berdoa agar semoga dengan menyebut nama Allah mereka akan sedar bahawa agama kita merupakan agama yang sahih. Masalah kita ni, kita mengambil perkara kecil dan menjadikannya isu yang terlalu besar tanpa berfikir panjang. Apa yang kita nak buat – lawan..lawan..lawan..Sebaliknya, kita sebagai penganut agam Islam yang harmoni sepatutnya berfikiran lebih jauh dari ini..

P/S : Kalau umat Islam akidahnya kukuh dan mantap, rasanya tidak timbul isu larangan penggunaan nama Allah oleh Kristian. Ini kerana ramai yang takut tewas dengan kejahilan sendiri.Itu sebabnya saya tidak mengeluarkan isu ini daripada awal lagi.

PP/S : Yang baiknya datang daripada Allah, keburukan yang ada datangnya daripada kesilapan daripada saya sendri. Minta maaf jika tulisan kali ini mungkin ada menyinggung perasaan mana-mana individu

No comments:

Post a Comment