Powered By Blogger

Pages

Tuesday, May 18, 2010

Kelantan Tuntut Royalti,Tolak Ehsan

Memahami firman Allah yang berbunyi:



Maksudnya; ”Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebaikan, memberikan bantuan kepada kaum kerabat, dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji, dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangannya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhinya.

[Surah an-Nahl (16) ayat 90]

Pokok kepada kemuliaan akhlak adalah berlaku adil kepada semua orang. Lebih-lebih lagi terpikul ke atas bahu setiap pemimpin dan Kerajaan, hendaklah berlaku adil kepada semua rakyatnya.

Seterusnya, Allah menjelaskan keadilan perlu dilaksanakan oleh setiap kerajaan tidak kira Pusat mahupun Negeri, firmanNya:



Maksudnya; “Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikan mu khalifah (penguasa) di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepada mu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, karena yang demikian itu ia akan menyesatkan mu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.”

[Surah Shaad (38) ayat 26]

Lebih-lebih lagi, apabila berlaku pertikaian di antara pihak-pihak tertentu, misalnya antara kerajaan Pusat dengan Negeri, maka menjadi tanggungjawab untuk dilaksanakan secara adil butiran pertikaian tersebut. Ini kerana Allah telah memberi peringatan agar pihak-pihak yang terbabit kembali mematuhi hukum Allah. Firman Allah;



Maksudnya; “Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya! Jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; Jika ia kembali patuh, maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

[Surah al-Hujuraat (49) ayat 9]

Hakikatnya, suara rakyat Kelantan sepakat untuk menuntut hak atas perjanjian royalti minyak yang telah dimateraikan antara Petronas dengan Kerajaan Negeri Kelantan sejak 1975 lagi. Atas perjanjian itu jugalah, maka Kerajaan Negeri turut mengambil tanggungjawab untuk menuntut hak keadilan mendapatkan royalti minyak, bila mana negeri-negeri Sabah dan Sarawak diberi hak, dan suatu ketika negeri Terengganu turut diberi wang royalti minyak.

Malang sekali, pihak Kerajaan Pusat banyak membuat dalih. Mereka tidak mahu berlaku adil untuk Kelantan. Mereka telah mereka-reka pelbagai tafsiran di sebalik perjanjiian yang dibuat. Malah telah memalingkan hakikat keadilan kepada keputusan yang zalim. Mereka menolak membayar royalti, dan menukar royalti kepada wang ehsan !! Jelas, keputusan Perdana Menteri ketika mengumumkan perkara tersebut di parlimen pada 4 November 2009 lalu adalah menzalimi seluruh rakyat Kelantan. Ia juga penghinaan kepada Kerajaan Negeri. Malah pengumuman Perdana Menteri itu adalah berlapikkan alasan dan hujah palsu, kononnya kelayakan membayar royalti dalam jarak tiga batu nautika. Maka semua itu adalah peraturan kolot yang tak sesuai dipakai pada zaman serba canggih dan zaman kesedaran maklumat ini.

Persoalannya, apa bezanya hasil perut bumi lain di Kelantan ini dengan hasil minyak. Hasil galian dan logam seperti emas, besi, balrite, dan sebagainya diberi hak kepada Kerajaan Negeri, kenapa pula hasil minyak dan gas yang juga dari perut bumi Negeri ini tidak nak diberi hak kepada Negeri. Kemudian, apa pasal pula Pusat memandai-mandai buat undang-undang nak beri ehsan kepada Negeri, sedangkan hasil itu digali dari perut bumi Negeri. Hakikatnya, pihak Kerajaan Pusat di Putrajaya tak ada setitik pun minyak, tapi mereka membolot kesemuanya.

Apa yang berlaku ialah minyak sudah digali di laut sana, ia tidak di perut bumi Putrajaya, sebaliknya ia digali di Laut Cina Selatan yang jelasnya kalau tidak hak Kelantan, maka ia hak Terengganu atau hak Thailand.

Namun, maklumat yang diketahui umum, minyak sudah dikeluarkan dari laut Kelantan. Tiba-tiba kita di Negeri yang keluarkan hasil minyak nak diberi ehsan. Sepatutnya, kerajaan Negeri yang ada hasil minyak yang beri ehsan kepada Pusat. Ini sudah terbalik, dan sudah tidak berlaku keadilan. Dan orang yang tidak adil adalah orang yang tidak mengikut jalan agama dan melakukan kezaliman. Ingatlah amaran Allah kepada orang yang zalim, Allah berfirman;




Maksudnya; “Pada kesudahannya Kami jadikan engkau ( wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu jalan yang cukup lengkap dari hukum-hukum agama; maka turutlah akan jalan itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).
Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mu sedikitpun dari (azab) Allah (kalau engkau menurut mereka); dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain (dalam perkara yang salah); dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertakwa (yang engkaulah pimpinannya)
.”

(Surah al-Jaasiyah (45) ayat 18-19)

Atas hujah-hujah keadilan tersebut, maka Kerajaan Negeri Kelantan tetap bertegas tidak akan menerima wang ehsan. Ia bukannya untuk mempolitikkan isu, sebaliknya tindakan Pusat menukar royalti kepada ehsan, tidak mematuhi perjanjian dan berunding dengan Petronas serta berselindung di sebalik nama Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebenarnya telah mempolitikkan isu royalti/ehsan ini.

Penegasan kami, sebagai Kerajaan Negeri akan tetap bersama rakyat berjuang bagi memastikan hak dan keadilan bagi mendapatkan wang royalti minyak.

Semuga Allah Yang Maha Esa memberi hidayah kepada pemimpin yang sedang menzalimi rakyat Kelantan. Hentikanlah kerja zalim itu, dan ingatlah akan azab Allah, maka bertaubatlah.

Thursday, May 6, 2010

Remaja Kini Semakin Rosak Moral Mereka

Kerosakan moral bermaksud keruntuhan akhlak dan nilai-nilai murni dalam diri seseorang. Kerosakan moral selalunya lebih difokuskan terhadap golongan remaja. lni dapat dilihat pada muda-mudi kini yang terlibat dalam kejadian yang tidak baik di mana mereka tanpa segan silu mengamalkan gaya hidup yang bebas seperti berpeleseran, terlibat dengan jenayah. penagihan dadah, budaya lepak, bohsia, dan bermacam-macam lagi masalah sosial. Keadaan ini sangat membimbangkan kerana muda-mudi merupakan aset yang paling penting dalam sesebuah negara. Sekiranya mereka terus dibiarkan hanyut dalam mengamalkan gaya hidup begini sudah pasti negara akan mengalami kerugian yang bukan sedikit.

Keruntuhan moral di kalangan remaja berlaku disebabkan kecuaian para ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka. Ibu bapa zaman sekarang lebih memfokuskan kepada mencari mengumpul harta kekayaan daripada menumpukan perhatian kepada anak-anak. Didikan agama semakin diabaikan sebaliknya para ibu bapa lebih berbangga sekiranya anak-anak mereka mahir dalam bidang muzik ataupun mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan. Kurangnya pendidikan agama yang menjadi benteng daripada melakukan kegiatan yang tidak bermoral membuatkan anak-anak zaman sekarang lebih mudah dipengaruhi oleh budaya hidup tidak baik. Mereka senang dipengaruhi untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan norma-norma masyarakat dan agama.

Selain itu peluang pekerjaan yang terbuka luas telah menggalakkan ramai pasangan suami isteri bekerja. Lebih-Iebih lagi kos sara hidup zaman sekarang semakin tinggi membuatkan ibu bapa tidak ralat untuk meninggalkan anak-anak di rumah bersama pembantu rumah. Keadaan ini membuatkan para remaja ketandusan kasih sayang dari ibu bapa dan merasa bosan hidup di rumah. Untuk mengelakkan kebosanan mereka akan keluar berjumpa dengan rakan-rakan sebaya yang pastinya tergolong dari pelbagai jenis ragam dan perangai kerana berbeza latar belakang keluarga pendidikan. Secara tidak langsung sedikit demi sedikit mereka akan terpengaruh dengan gaya hidup rakan-rakan mereka yang tidak sihat dan akhirnya terlibat dengan gaya hidup yang tidak bermoral.

Selain daripada itu, pihak media massa juga terlibat dalam gejala keruntuhan moral di kala muda-mudi. Pihak media massa patut dipersalahkan kerana banyak memberi publisiti ke golongan artis. Ramai di kalangan artis ini yang tidak sesuai dijadikan model kerana peribadi mereka kurang elok. Lantaran remaja adalah golongan yang mudah terpengaruh lebih-Iebih lagi kerana beranggapan bahawa apa yang dilakukan oleh artis pujaan mereka adalah betul, mereka mengikut perilaku artis-artis idola mereka yang tidak bermoral itu. Kemasukan filem-filem barat juga banyak memberi kesan negatif kepada kehidupan golongan muda-mudi. Rata-rata filem barat menyelitkan unsur-unsur seks, pergaulan bebas, pergaduhan, dan sebagainya yang bertentangan dengan budaya timur. Filem-filem ini berupaya mempengaruhi perlakuan dan pemikiran para remaja sehingga membentuk sikap menentang dan tidak suka dikongkong dalam diri remaja.

Remaja juga adalah golongan yang berdarah panas. Mereka pantang dicabar untuk melakukan sesuatu. Mereka adalah golongan yang kreatif. Malangnya kerana silap memilih kawan idea mereka tu diluahkan pada tempat yang tidak sewajarnya. Contohnya, untuk membuktikan bahawa mereka adalah hero mereka sanggup memecah masuk ke rumah orang, melakukan aksi-aksi yang ganas, merbahaya, dan sebagainya.

Selain itu, tiada ketenangan hidup di rumah juga adalah faktor berlakunya keruntuhan moral di kalangan remaja. Rumah yang sempit dan ahli keluarga yang ramai menyebabkan mereka lebih selesa mencari ketenangan hidup di luar rumah. Apabila berada di luar rumah mereka bebas untuk melakukan apa sahaja aktiviti kegemaran tanpa sekatan atau halangan daripada ibu bapa. Sudah tentu ini akan memberi mereka peluang dan kebebasan untuk mencuba dan melakukan apa jua aktiviti.

Oleh sebab keruntuhan moral di kalangan para remaja berada di tahap yang membimbangkan, eloklah pihak-pihak yang berkenaan membuka mata bagi merangka satu medium yang sesuai untuk para remaja meluahkan idea mereka. Ibu bapa seharusnya lebih prihatin dengan kehendak dan keinginan anak-anak mereka. Begitu juga dengan anggota masyarakat, seharusnya mereka tidak menutup mata apabila melihat adanya perlakuan sumbang yang dilakukan oleh para remaja. Pihak kerajaan pula hendaklah melakukan sesuatu agar generasi harapan negara ini tidak terus hanyut dan tenggelam dalam keseronokan menjalani aktiviti tidak bermoral mereka. Semua pihak harus tampil bekerjasama agar aset penting negara ini tidak dilekakan dengan aktiviti yang akan merugikan diri dan menggelapkan masa depan mereka.

Beza Diantara Lelaki Dan Perempuan

Sama-samalah kita renung sejenak dan berfikir…

Wanita menarik nafas lebih kerap daripada lelaki, manakala lelaki menarik nafas lebih dalam daripada wanita.

Sistem badan lelaki dan wanita pun tidak sama.

Lelaki lebih banyak memerlukan oksigen berbanding wanita supaya mereka dapat menukarnya menjadi tenaga.

Kulit lelaki lebih kasar , kulit perempuan lebih halus.

Perempuan lebih halus suara berbanding lelaki yang kasar dan besar suaranya.

Lelaki memiliki tulang anggota yang lebih panjang berbanding wanita.

Tulang wanita bukan sekadar lebih kecil malah susunannya berbeza disebabkan wanita diciptakan Tuhan dengan struktur tubuh bagi melahirkan anak.

Demikian juga pada segi psikologi , wanita secara umum lebih bersikap mudah mengikut kata hati, lebih berminat kepada cinta dan kasih sayang dan hubungan perasan.

Apabila mengamati benda, kedua-duanya juga berbeza. Lelaki lebih menggunakan pengamatan tumpuan. Manakala wanita menggunakan lebih pengamatan luas dan membesar.

Pengamatan lelaki ibarat cahaya laser yang menumpu kepada sesuatu objek. Manakala, pengamatan wanita ibarat lampu suluh, yang membuka, menampakkan banyak benda. Wanita mahu mengambil tahu semua perkara. Daripada perkara kecil sehingga perkara besar. Sementara lelaki hanya menumpukan kepada matlamat utama.

Cuba perhatikan kepada wanita, apa yang mereka bawa apabila berjalan keluar rumah. Tengok sahaja pada beg tangan mereka lebih besar daripada lelaki. Lelaki membawa beg kecil sahaja. Di dalamnya hanya ada lesen kenderaan, duit, surat-surat penting dan kad kredit bank. Dalam beg tangan wanita semuanya ada dompet duit, kad kredit, buku bank, buku cek, ada alatan make-up, cermin, sikat rambut, tisu muka, pengetip kuku, kunci pen, pensel, ubat sakit kepala, gambar suami, gambar anak, cermin mata hitam, buku telefon, tuala ??? dan macam-macam lagi. Kenapa sedemikian dilakukan oleh wanita? Jawabnya kerana wanita memikirkan pelbagai kemungkinan perkara yang boleh berlaku. Mereka lebih peka, apabila sesuatu terjadi, persediaan sudah pun dilakukan. Ini bermakna pemikiran dan penumpuan wanita lebih lebar. Pada lelaki,cukup dengan lesen memandu dan duit. Sebab mereka mahu sampai ke matlamat. Duit untuk membeli.Lesen memandu supaya selamat daripada disoal polis.

Demikianlah perbezaan yang wujud antara lelaki dan wanita. Kerana itu, tidak hairan apabila suami isteri ini melihat banyak perkara secara berbeza. Urusan-urusan rumah tangga kadang-kadang ditangani secara berbeza. Contohnya, suami isteri yang kedua-duanya bekerja,mereka terpaksa keluar dari rumah awal pagi. Dalam banyak hal, wanita bekerja yang paling kerap bersungut. Suaminya, apabila keluar sahaja dari rumah, yang dibawa hanya kunci kereta, masuk dalam kereta dan hidupkan enjin, kemudian tunggu isteri. Matlamat mereka ke pejabat. Manakala si isteri, memikirkan apa yang anak bawa ke sekolah, baju di ampaian siapa hendak ambil, anak belum pakai baju lagi, anak belum makan lagi . Kalau bolehnya, dia mahu memikirkan semua benda, kerana padanya, pabila sesuatu terjadi, bagaimana kesudahannya? Biar lewat ke tempat kerja, asalkan semuanya beres.

Apabila si suami dan si isteri ke kompleks membeli belah. Si isteri, apabila masuk sahaja ke pusat membeli belah dia melihat banyak benda dahulu, satu persatu, perlahan-lahan, dari atas ke bawah, kain ini dipegang, diperhatikan dieselkan. Kemudian pegang pula kain lain, selepas berjam-jam barulah dibuat pilihan membeli. Pendek kata, si suami yang menjadi pengikut setia mudah bosan. Bagi lelaki apabila hendak membeli sesuatu, terus dituju ke tempat yang ingin dibeli dan membeli. Membeli belah pada lelaki tidak mengambil masa yang lama seperti perempuan.

Contoh-contoh tersebut menunjukkan wanita mengamati sesuatu berbeza daripada lelaki. Sebab itu, jangan bergaduh selepas membeli belah, jangan bergaduh ketika mahu ke tempat kerja. Si isteri jangan putus asa melihat si suami, apabila keluar sahaja dari rumah terus masuk kereta. Tanpa mengangkat botol susu anak, kain lampin anak, dan berbagai lagi untuk dibawa ke rumah pengasuh.

Akuilah kita berbeza. Perbezaan bukan untuk bermusuh, sebaliknya bagi saling membantu dan berkasih sayang. Kerana kita berbeza, kita lebih berkasih sayang. Jangan disebabkan perbezaan pada cara berkasih sayang antara lelaki dengan seorang wanita, maka timbul krisis rumah tangga berpuluh tahun. Tentulah kerana perbezaan yang ada antara kita itu, maka kita lebih berkasih sayang. Kerana itu, kita berbeza supaya saling sayang-menyayangi.

Juvana Remaja

Remaja makin bangga, seronok buat jenayah

MEREKA mencuri, merogol, menjual diri, membunuh selain terbabit pergaduhan dan samseng. Ini bukan profil penjenayah yang diburu mahupun sudah bergelar banduan, sebaliknya senario terkini golongan pelajar yang kian membimbangkan.

MEREKA sanggup mencuri, merogol, menjual diri serta membunuh selain terbabit dalam pergaduhan dan samseng. Malah ada yang bertindak di luar batasan adab dan pegangan apabila sanggup menjual diri pada harga serendah RM50 setiap pelanggan untuk mendapatkan wang.

Ini bukanlah profil penjenayah yang diburu mahupun sudah bergelar banduan, sebaliknya senario terkini golongan pelajar yang kian membimbangkan.

Pelajar yang menjadi harapan sebagai generasi pelapis dan sepatutnya bergelut memperlengkapkan diri menjadi insan serba boleh demi masa depan, sebaliknya mencurah tumpuan dan masa muda berharga dengan melakukan pelbagai jenayah seperti mereka yang bertaraf profesional.

Atas alasan mahu mendapatkan populariti, meraih wang mudah serta mendapat perhatian rakan sebaya, pelajar berusia 13 hingga 18 tahun ini sudah tidak lagi malu melakukan jenayah.

Silap jika ada yang beranggapan ini trend semasa bersifat sementara dan hanyalah gelojak jiwa muda remaja yang lebih suka mencuba perkara baru.

Buktinya, statistik serta kajian pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi tempatan, menunjukkan betapa jenayah pelajar di dalam mahu pun di luar sekolah, bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Ia diakui sendiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, minggu lalu yang memetik statistik menunjukkan peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan kesalahan lain membabitkan anak muda itu.

Selain peningkatan kes, jumlah tangkapan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun juga turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Buktinya, bagi sepanjang 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan. Angka itu meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes tahun lalu yang menyaksikan seramai 3,725 pelajar ditahan.

Belum pun reda kejutan akibat kenyataan Musa, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula mendedahkan, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, seramai 295 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit pelbagai kes jenayah termasuk membunuh.

Sambil mengakui trend itu amat membimbangkan, Lee berkata kebanyakan pelajar itu terbabit dalam kes curi motosikal selain kes pecah rumah, mencederakan orang lain dan rogol. Lebih menyedihkan, walaupun kelab pencegahan jenayah sudah dilancarkan di 3,764 sekolah sejak 1994, ia ternyata tidak berjaya membendung kadar peningkatan jenayah di kalangan pelajar.

Keadaan juga tiada jauh bezanya di sekolah. Hasil kajian Petunjuk Keselamatan dan Jenayah di Sekolah anjuran Universiti Malaya yang diumumkan tahun lalu, menunjukkan empat masalah utama di sekolah adalah kecurian, buli, pergaduhan dan gangsterisme atau samseng.

Kajian setahun pada 2006 – 2007 dilakukan Pensyarah Fakulti Pendidikan UM Profesor Madya Dr Tie Fatt Hee, membabitkan 740 responden di kira-kira 12 sekolah di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Kajian awal ini cuma membabitkan pelajar berusia 16 tahun yang disifatkan tahap usia penting sebelum memasuki Tingkatan Lima dan seterusnya menyertai masyarakat. Apa yang boleh dirumuskan, jenayah di sekolah tetap berlaku sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar.

“Bagi saya, perkembangan ini amat membimbangkan biarpun hakikatnya jenayah di sekolah ini masih dianggap terkawal jika dibandingkan dengan bilangan murid di seluruh negara,” kata Dr Tie ketika ditemui, baru-baru ini.

Lebih membimbangkan, katanya, 46 peratus responden itu mengakui pembelajaran mereka terganggu akibat ancaman jenayah di sekolah yang sekali gus boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka.

“Kita perlu ingat, masalah disiplin di sekolah ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba sebaliknya ia membabitkan proses yang berpanjangan. Seperti juga penyakit, ia mempunyai simptom atau petanda awal tertentu yang perlu ditangani seberapa segera.

“Jika ia dibiarkan melarat, tanpa sebarang tindakan oleh pihak sekolah, jenayah ini boleh melarat melangkaui kawasan sekolah.”

Dr Tie yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan undang-undang, berkata apa yang menyedihkan, majoriti pelajar yang ditemui menerusi kajian itu, mengakui menjadikan kawan atau rakan sebagai rujukan utama dalam sistem sokongan mereka.

“Di mana peranan ibu bapa dan guru-guru yang sepatutnya di hierarki atas sistem sokongan itu dan menjadi tempat utama pelajar mengadu masalah mereka? Ini jelas menjadi satu kepincangan kerana kita perlu sedari, ada bahayanya apabila pelajar menjadikan rakan sebagai pakar rujuk mereka, terutama jika rakan itu juga bermasalah.”

Sehubungan itu, beliau menegaskan, sudah tiba masanya semua pihak – ibu bapa, sekolah dan masyarakat menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah jenayah di kalangan pelajar ini.

“Guru yang menyedari pelajar bermasalah perlu segera memaklumkan kepada pihak sekolah bagi tindakan susulan termasuk memanggil ibu bapa dan pihak polis. Ibu bapa pula harus bersikap prihatin apabila dipanggil dan bukannya menuding jari ke arah pihak sekolah.

“Selain itu, kita juga harus menerapkan kepentingan kaedah pendidikan berkaitan undang-undang yang mana pelajar didedahkan dengan jenayah dan jenis hukuman serta hak mereka,” katanya.

20 Buah Sekolah Hebat


Kumpulan pertama Sekolah Berprestasi Tinggi diberi autonomi

PUTRAJAYA: Misi mengangkat sekolah negara ini ke taraf dunia bermula semalam dengan pemilihan kumpulan pertama 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang menyaksikan pengetua dan guru besar diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan dan kakitangan.

Autonomi itu antara lain memberi kelonggaran memanjangkan waktu persekolahan, menamatkan tempoh persekolahan pelajar cemerlang setahun lebih awal, mengagihkan kewangan mengikut keperluan serta mengambil kakitangan berdasarkan pencapaian dan bukan kekananan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata SBT dibimbing dan dipantau secara khusus menjamin berlaku lonjakan prestasi secara berterusan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata penilaian SBT akan dibuat berdasarkan laporan tahunan petunjuk keberhasilan dan pemeriksaan sekolah mengikut Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang diubah suai.

Beliau bagaimanapun menjelaskan SBT bukan sekolah elit untuk sebilangan kecil pelajar, sebaliknya semua sekolah mempunyai peluang sama dan boleh bersaing ‘di padang sama rata’ bagi mendapat pengiktirafan itu.

“Tahun ini kita sasarkan 20 sekolah mengikut sub Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) kementerian, manakala 30 pada tahun depan dan 50 lagi pada 2012,” katanya pada sidang media mengumumkan senarai kumpulan pertama SBT yang meliputi 14 sekolah menengah (SM) dan enam sekolah rendah.

SM yang terpilih termasuk empat sekolah harian, iaitu SM Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya; SMK Sultanah Asma, Alor Setar; SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan SMK (P) St George, Pulau Pinang.

Muhyiddin berkata, 20 sekolah berkenaan dipilih daripada 10,000 sekolah di seluruh negara berdasarkan kriteria tertentu termasuk menunjukkan pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

Mengenai nasib sekolah pedalaman, Muhyiddin berkata, mungkin mereka akan menghadapi cabaran kerana kemudahan yang belum setara dengan sekolah bandar, tetapi tetap boleh diiktiraf sebagai SBT jika memenuhi kriteria.

“Ini bukan usaha jangka pendek dan tak mungkin semua 10,000 sekolah naik ke tahap begitu, di mana dunia pun tidak begitu, tetapi tak kira bandar, luar bandar atau pedalaman, kalau prestasi bagus dia akan diiktiraf SBT manakala kemudahan di pedalaman kita akan terus perbaiki,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian belum ada mekanisme khusus mengenai langkah autonomi SBT yang membenarkan tempoh persekolahan ditamatkan setahun lebih awal bagi murid cemerlang.

“Panduan kasarnya ialah kerajaan berasakan pelajar cemerlang dibenarkan menamatkan persekolahan setahun lebih awal, tetapi ia akan bergantung kepada cadangan pengetua dan guru besar,” katanya.

SEKOLAH TERPILIH SBT

Sekolah Berasrama Penuh:

  • Sekolah Tun Fatimah (Johor Bahru)
  • Sekolah Dato’ Abdul Razak (Seremban)
  • Kolej Melayu Kuala Kangsar
  • Sekolah Seri Puteri (Cyberjaya)
  • Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (Jitra)
  • Kolej Tunku Kurshiah (Seremban)
  • Kolej Islam Sultan Alam Shah (Klang)
  • Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra (Perlis)
  • Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya)
  • SMS Muzaffar Syah (Melaka)

Sekolah Menengah Harian:

  • Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman (Petaling Jaya)
  • SMK Aminuddin Baki (Kuala Lumpur)
  • SMK Sultanah Asma (Alor Setar)
  • SMK (P) St George (Pulau Pinang)

Sekolah Rendah:

  • Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara (KL)
  • SK Taman Tun Dr Ismail 1 (Kuala Lumpur)
  • SK Bukit Damansara (KL)
  • SK Zainab (2) (Kota Bharu)
  • SK Convent Kota (Taiping)
  • SK Bandar Baru Uda 2 (Johor Bahru)

Sekolah diberi autonomi:

  • Fleksibel dalam pengajaran dan pembelajaran serta silibus bagi subjek wajib dan elektif
  • Boleh menggunakan bahasa pengantar bahasa kebangsaan atau pelbagai bahasa lain.
  • Kelonggaran menetapkan waktu pengajaran minimum sesuatu mata pelajaran.
  • Memanjangkan waktu persekolahan.
  • Membenarkan tempoh persekolahan bagi pelajar cemerlang ditamatkan setahun lebih awal (seperti kelas lompat).
  • Fleksibiliti untuk mengagihkan kewangan mengikut keperluan.
  • Pengecualian daripada perolehan secara berpusat.
  • Bajet tambahan antara RM500,000 hingga RM1 juta setahun.
  • Mengambil staf berdasarkan prestasi pencapaian dan bukan kekananan.
  • Boleh menyediakan bayaran kerja lebih masa dan ganjaran berdasarkan prestasi kepada semua staf.
  • Boleh memindahkan staf jika prestasi kurang memuaskan.
  • Pengagihan fungsi berdasarkan akademik dan bukan akademik.

Kriteria pemilihan SBT :

  • Pencapaian akademik yang cemerlang.
  • Melahirkan personaliti unggul.
  • Merangkul anugerah kebangsaan dan antarabangsa.
  • Mewujudkan jalinan dengan institusi pengajian tinggi.
  • Mempunyai permuafakatan jitu dengan masyarakat serta jaringan kukuh dengan sekolah tempatan dan antarabangsa.
  • Menjadi penanda aras kepada sekolah dalam dan luar negara.

Media Massa Merupakan Antara Faktor Berlakunya Gejala Sosial

Dahulu, pada zaman manusia belum mencapai tahap ketamadunan yang tinggi, alat komunikasi dan perhubungan untuk menyampaikan maklumat tidak dicipta. Mereka sekadar menggunakan burung dan asap daripada unggun api sebagai petunjuk dan utusan kepada seseorang. Namun, pada era teknologi maklumat kini, mesej-mesej dapat disampaikan dalam sekelip mata. Media massa terbahagi kepada dua iaitu media cetak seperti risalah, majalah, dan akhbar manakala media elektronik pula iaitu Internet, televisyen, dan radio. Namun demikian, media massa telah disalahgunakan dan menjadi salah satu daripada punca penyumbang utama berlakunya gejala sosial.

Tidak dapat dinafikan lagi, media massa merupakan penyumbang utama kepada keruntuhan moral di kalangan belia. Program-program televisyen khasnya, lebih mementingkan hiburan daripada maklumat. Tayangan-tayangan filem Barat dan Hindustan contohnya, telah menolak unsur-unsur ketimurah yang sebati dalam jiwa masyarakat. Adegan-adegan lucah hanyalah sebagai halwa mata bagi mereka. Jadi, apabila filem tersebut dipertontonkan, sudah tentu golongan remaja amnya, akan meniru stail dan aksi artis pujaan mereka. Natijahnya wujudlah budaya ‘punk’, bertindik di telinga kiri bagi lelaki, seks bebas, dan lebih dahsyat lagi pembuangan bayi yang semakin berleluasa. Secara tidak langsung, ia mencetuskan kemelut jati diri bagi remaja yang sedang mencari iderttiti diri seterusnya terlibat dalam gejala hedonisme ini.

Di samping itu, konsert-konsert penyanyi dari negara Barat yang ditayangkan turut membawa impak buruk. Penyanyi dari Barat, terionjak-ionjak memakai jeans yang terkoyak sehingga menjadi kegilaan dan idola remaja. Sekali gus, hal ini turut menjajah minda remaja kerana mereka berfikir semua perkara yang baik datang dari Barat. Amalan-amalan tidak sihat seperti minum arak dan menagih dadah turut menjadi ikutan muda-mudi.

Melalui majalah-majalah pula, artis-artis tempatan yang kononnya menjadi contoh dan teladan sebenarnya semakin membawa remaja ke arab kemaksiatan dan keruntuhan moral. Kandungan majalah dan gambar-gambar yang memaparkan unsur pendedahan aurat yang keterlaluan serta menjolok mata semata-mata untuk mengaut keuntungan yang maksima menyebabkan rosak minda para remaja.

Gejala sosial dan kebejatan moral semakin gawat dan meningkat hari demi hari berikutan perkembangan media massa yang tidak terkawal dan maju umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Tambahan pula, kini wujud pula satu saluran maklumat yang canggih dan sistematik iaitu Internet disusuli pula dengan penubuhan pusat kafe siber. Pusat maklumat kafe siber menjadi sarang kepada golongan belia untuk melihat bahan-bahan negatif dan meneroka laman-laman web pornografi yang mempunyai bahan-bahan lucah dan unsur-unsur yang bertentangan dengan syariat Islam dan budaya masyarakat Malaysia.

Pusat-pusat Internet menjadi tempat untuk para pelajar melepak. Ditambah lagi dengan sistem langit terbuka dan dunia tanpa sempadan yang diwara-warakan oleh sesetengah pihak semakin menarik minat mereka. Pelajar-pelajar sanggup berada di hadapan skrin atau monitor komputer berjam-jam lamanya sehingga mengabaikan masa untuk sekolah hanya sekadar untuk mencari hiburan di kafe siber.

Dalam pada itu, penyeludupan video-video dan VCD dari luar negara semakin berleluasa. Remaja boleh mendapatkannya dengan mudah kerana video-video tersebut dijual di pasar-pasar malam dan iu,ga terdapat di pasar-pasar gelap. Di pawagam pula, setiap hari, pasti ada filem-filem seperti perang yang tidak sesuai untuk tontonan remaja di negara kita kerana Malaysia pada dasarnya adalah sebuah negara yang arnan. Label 18SX, 18SG, dan 18PL hanyalah sekadar hiasan dan jarang sekali pemantauan diadakan. Jika muda-mudi disajikan dengan aksi-aksi lucah, perang, dan blues secara berterusan justeru lahirlah generasi alaf baru yang nilai moralnya mencecah ke paras sifar, malah sentiasa mengikut ideologi dan pandangan aging. Mereka mengagung-agung orang lain sehingga hilang semangat kepimpinan dalarn diri.

Konklusinya, media massa adalah antara penyumbang utama berlakunya gejala sosial, mendatangkan keburukan, dan membawa kesan negatif kepada remaja pada hari ini. Jika perkara ini masih berterusan dan tiada langkah drastik untuk menanganinya sudah tentu pada masa akan datang gejala-gejala buruk menjadi budaya golongan muda. Hasilnya lahirlah generasi yang menjadi ‘robot’ dan hanya diperalatkan untuk kepentingan individu tertentu